Rutin mengulang kaji pelajaran secara konsisten dan menumpukan perhatian kepada sesi pembelajaran menjadi faktor utama kepada graduan terbaik Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) mendapat keputusan cemerlang.
Ia membolehkan graduan Diploma Teknologi Maklumat, Nur Sauri Yahya, 21, dipilih pelajar terbaik bagi program berkenaan dan melayakkannya menerima Anugerah Perak KPTM.
Dia yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.78 berkata, mengulang kaji pelajaran secara sistematik membantu mendapat keputusan cemerlang.
"Saya pastikan selepas seminggu sesuatu topik itu dipelajari, saya mengulang kaji bagi memastikan kandungan topik pembelajaran difahami dan diingati," katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen KPTM Ke-27 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal.
Seramai 2,089 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing dalam majlis tersebut.
Nur Sauri berkata, dia tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata tetapi aktif melibatkan diri dalam sukan bola tampar dalam memastikan aktiviti pembelajaran dan akademik seimbang.
"Kita perlu membahagikan masa dengan bijak dan sistematik," katanya.
Sementara itu, bagi graduan terbaik yang mendapat CGPA 3.91 dalam jurusan Diploma Sistem Komputer dan Jaringan, Ho See Yean, 21, berkata, usahanya selama ini mengulang kaji pelajaran secara konsisten ternyata berbaloi.
"Segala penat lelah mengulang kaji pelajaran selama ini terbalas dengan mendapat keputusan cemerlang," katanya.
Mengenai perancangan selepas menamatkan pengajian, pelajar dari Kuala Lumpur itu berkata, buat masa sekarang dia ingin mencari pekerjaan dan belum berhasrat meneruskan pengajian di peringkat ijazah.
Fatimah Mohd Yunus, 21, yang merupakan graduan Diploma Kejururawatan terbaik pula berkata, dia bersyukur mendapat keputusan cemerlang dalam program pengajiannya dan membolehkannya mendapat Anugerah Perak.
"KPTM memberi peluang kepada saya untuk memilih pengajian dalam bidang kejururawatan.
"Program pengajian di sini yang memfokuskan kepada aspek latihan praktikal dan teori memberi banyak tambahan ilmu kepada saya," katanya.


0 comments